31 Julai 2009

Bisikan Subuh

Layan jer la kalau tak ada apa2 keje


27 Julai 2009

XPDC Kg. Asli Paya Luas

Bila dengar jer orang asli kita tak boleh lagi gambarkan mereka memakai cawat, kalau ada pun mungkin di sesetengah tempat.

Kg. Paya Luas yang terletak kira-kira 30 km dari bandar temerloh dalam pekan Kuala Krau, Pahang ini tergolong dalam perkampungan orang asli yang menerima kemodenan bersama secebis peredaran zaman.

Gambar di bawah menceritakan sebahagian kunjungan ke kg asli tersebut.


Cuba tengok kebun getah orang asli siap ada pokok pisang lagi. Ni merupakan perancangan bagus, sebelum getah besar dia orang manfaatkan tanah dengan pisang. Mungkin ini biasa kita tengok dan buat.











Inilah bangsal tempat mereka berteduh dari hujan dan tempat istirehat untuk melepaskan penat lelah seketika.













Tengok betapa bersihnya kebun getah ni, nak cari sehelai rumput pun memang tak jumpa.















tengok bersihkan...???

24 Julai 2009

Puasa dijangka 22 Ogos, Aidilfitri 20 September

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA TERENGGANU: Umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa pada 22 Ogos ini dan menyambut Aidilfitri pada 20 September depan iaitu selepas berpuasa selama 29 hari.

Timbalan Mufti Terengganu, Abdul Halim Awang @ Alias, berkata umat Islam berpuasa pada 22 Ogos kerana anak bulan Ramadan dijangka tidak kelihatan pada petang tarikh melihat anak bulan pada 20 Ogos ini.

Pengiraan mengikut hisab itu bagaimanapun tertakluk sepenuhnya kepada pengisytiharan yang akan diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada tarikh berkenaan.

"Berdasarkan kiraan falak, anak bulan Ramadan tidak akan wujud pada hari rukyah iaitu 20 Ogos kerana tidak cukup syarat kematangan berikutan jarak antara waktu berlakunya ijtimak atau detik pemisahan antara bulan Syaaban dan Ramadan adalah satu jam sebelum Maghrib," katanya ketika ditemui pada Seminar Penghayatan Ramadan di Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Kompleks Seri Imam, di sini, semalam.

Seminar yang dihadiri lebih 500 ahli agama di negeri itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

Abdul Halim, berkata tarikh melihat anak bulan ditetapkan pada 20 Ogos dan pengumuman tarikh permulaan puasa akan diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media elektronik pada malam berkenaan.

Mengulas penentuan tarikh menyambut Aidilfitri, Abdul Halim berkata, ijtimak Syawal dijangka berlaku pada jam 2.44 pagi pada hari rukyah 29 Ramadan bersamaan 19 September dengan usia anak bulan mencapai lebih 16 jam.

"Berdasarkan kaedah diamalkan di negara ini, anak bulan Syawal dijangka wujud dan boleh kelihatan pada petang hari rukyah dan jika kaedah itu diguna pakai, umat Islam di negara ini dijangka menyambut Aidilfitri pada hari Ahad, 20 September," katanya.

Rukyah menurut definisi hukum fiqah ialah melihat anak bulan (hilal) selepas matahari terbenam, manakala anak bulan didefinisikan sebagai bulan sabit selepas ijtimak yang kali pertama kelihatan atau kemungkinan boleh kelihatan selepas matahari terbenam.

Empat lokasi melihat anak bulan di Terengganu iaitu di Pulau Perhentian, Besut; Bukit Besar, Kuala Terengganu, Balai Cerap, Merang, Setiu dan Bukit Kemuning, Kemaman.

21 Julai 2009

Gerhana matahari separa di Malaysia esok 22 Jul. 2009

KUALA LUMPUR: Gerhana matahari separa akan dapat dilihat di Malaysia secara minimum pagi esok.

Gerhana matahari separa itu, yang amat sukar dicerap dengan mata kasar, akan berlaku pada 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi.

"Bagaimanapun hanya lebih kurang 17.8 peratus sahaja kawasan permukaan Matahari akan ditutupi oleh bulan semasa Gerhana Separa itu berlaku," kata Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa (UPSA) ANGKASA, Mhd Fairos Asillam, dalam satu kenyataan hari ini.

Kawasan Utara Semenanjung Malaysia merupakan kawasan yang terbaik untuk mencerap gerhana matahari separa itu, katanya.

Dalam abad ini, penduduk Malaysia akan dapat menikmati Gerhana Matahari Separa pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019, katanya.

Kejadian gerhana itu berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang merupakan gerhana matahari terpanjang di abad ini.

Fenomena astronomi yang juga akan berlaku esok akan dapat disaksikan oleh penduduk Bumi di mana laluan gerhana itu meliputi hampir separuh kawasan Bumi.

Mhd Fairos berkata bayangan umbra bulan (bahagian bayang yang sangat gelap) akan mula memasuki laluannya di India dan seterusnya akan melalui Nepal, Bangladesh, Bhutan, Myanmar dan China.

Apabila laluan gerhana itu melepasi benua Asia, ia akan melalui Pulau Ryukyu di Jepun dan melalui Lautan Pasifik dengan masa maksimum semasa gerhana penuh mencapai 6 minit 39 saat, katanya.

Mhd Fairos berkata ANGKASA akan menghantar tiga orang pegawai untuk membuat penyelidikan dan pengambilan data dan imej gerhana (fotografi dan videografi) semasa berlakunya fenomena gerhana matahari itu di Jinshan, Shanghai, China.

Ini kerana mengikut statistik, cuaca dan litupan awan di China lebih baik berbanding dengan kawasan lain.

Selain daripada ANGKASA, beberapa kumpulan daripada Malaysia akan turut menyertai Ekspedisi Gerhana di beberapa kawasan di China antaranya Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Persatuan Falak Syarie Malaysia, Stargazer Scientific dan Falak Online, katanya.

Rakyat Malaysia boleh bersama-sama menyertai dan menikmati Gerhana Matahari Penuh itu esok dengan melayari laman web yang membuat siaran langsung secara webcasting seperti www.exploratorium.edu/eclipse/2009/index.html,www.saros.org/index.html, www.liveeclipse.org dan www.eclipsetv.com. BERNAMA

16 Julai 2009

Tuntutan Terbaru Cuepacs

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Majlis Kongres Cuepacs meluluskan cadangan menuntut kerajaan membayar bonus tetap setiap tahun dengan menggabungkan elemen imbuhan itu dalam skim perkhidmatan kakitangan awam.

Ini adalah antara beberapa tuntutan baru yang akan dikemukakan kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada kajian semula syarat perkhidmatan penjawat awam.

Pada masa ini, bonus diberi mengikut budi bicara kerajaan

berdasarkan kemampuannya, tidak seperti sektor swasta yang menjadikannya sebagai amalan tahunan. Pada waktu yang baik, 1.2 juta penjawat awam menikmati bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000.

Dalam mesyuarat di Ipoh, baru-baru ini, Cuepacs juga mencadangkan supaya kadar faedah pinjaman perumahan dikurangkan daripada empat peratus sekarang kepada satu peratus setiap tahun.

Sumber Cuepacs memberitahu, dalam memorandum yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi, kongres itu turut menuntut perubahan bagi bayaran gantian cuti rehat daripada maksimum 150 hari pada masa ini kepada jumlah sebenar cuti tahun yang tidak digunakan yang dikumpul seseorang pegawai.

Gantian cuti rehat adalah bayaran tunai bagi cuti tahun yang tidak digunakan yang dikumpul oleh seseorang pegawai sepanjang perkhidmatannya dengan kerajaan.

Satu lagi perubahan besar yang dituntut Cuepacs ialah berhubung pengiraan pencen.

Cuepacs mencadangkan supaya formula pencen sekarang yang dibuat berdasarkan gaji pokok terakhir, ditukar dengan memasukkan semua elaun.

Ini bermakna apabila pengiraan pencen dibuat, semua elaun perumahan, kos hidup, makanan, perjalanan, pemandu, kesusahan dan keraian juga perlu dimasukkan kepada gaji pokok terakhir.

Tuntutan lain ialah:

* Cuti tahun bagi menjaga anak yang sakit dengan tempohnya bergantung kepada tempoh keuzuran itu.
* Bayaran balik bagi implan gigi dan rawatan mata.
* Sistem kenaikan matriks digantikan dengan sistem linear dengan tambahan lima kenaikan, dan
* Mewujudkan skim sub-profesional bagi pemegang diploma.

Sumber itu berkata, pemimpin Cuepacs begitu optimis bahawa kerajaan akan mempertimbangkan cadangan mereka dengan fikiran terbuka.

15 Julai 2009

Jika Thaksin Dikawal, Siapa yang Memburu

Hari ini media melaporkan pengakuan Thaksin tentang kawalan yang diberi, tetapi kenapa ada pihak yang memburu. Apakah ini silap mata politik sempadan atau bagaimana??

Atau memang negara kita mempunyai pelbagai kategori polis, yang mana mereka tidak mengenali antara satu sama lain?!

Kalau begitu polis yang ada kita tengok hari-hari ini adalah untuk tugas kepada rakyat, saman, tangkap, dll. Dan ada disebalik polis itu polis lagi. Wah!! berapa banyak polis daaa...

Itu yang aku paham drama kat atas. Terpulang tafsiran masing-masing ...... tak tahu bertanya...

Bekas perdana menteri Thailand yang dikehendaki di negaranya, Thaksin Shinawatra, mengesahkan beliau menginap semalaman di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini dan mendakwa mendapat perlindungan daripada anggota polis Cawangan Khas.

"Jet peribadi saya singgah untuk mengisi minyak di Malaysia dan mereka menghantar 20 anggota polis untuk mengawal saya.

"Mereka sayang dan mengambil berat tentang saya," katanya seperti laporan akhbar The Nation yang memetik perbualan telefon beliau dengan stesen FM 97.5 di negara itu pagi semalam.

Awal bulan ini adalah kali pertama Thaksin dikesan berada begitu hampir dengan Thailand sejak beliau melarikan diri tahun lalu.

Pihak berkuasa Thailand sebelum ini dilaporkan berkata Thaksin berada di Malaysia pada 4 Julai lalu dan berlepas ke Fiji pada hari berikutnya sebelum sempat pihak polis bertindak.

Thaksin pulang ke Dubai, Jumaat lalu.

Awal minggu lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Thawon Sennian dilaporkan berkata, Thaksin berjaya melarikan diri daripada pihak berkuasa Malaysia sewaktu berada di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Thaworn dilaporkan berkata, dalam insiden tersebut pegawai kedutaan Thailand memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia bahawa Thaksin ketika itu sedang menginap di Hotel Shangri-La.

"Pegawai-pegawai kedutaan (Thailand) memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia berhubung kehadiran Thaksin, namun entah bagaimana Thaksin dapat tahu mengenainya dan berjaya melepaskan diri," Thaworn dipetik berkata di Pattani pada 6 Julai lalu.

Thaworn bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai insiden itu berlaku.

13 Julai 2009

Umat Islam boleh semak arah kiblat Khamis ini

Umat Islam di Malaysia boleh menyemak kedudukan arah kiblat dari kediaman, atau lebih tepat dari ruang solat masing-masing, pada Khamis ini pukul 5.28 petang.

Timbalan Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Omar Said berkata arah kiblat boleh disemak pada hari dan masa berkenaan dengan berasaskan cara tradisional iaitu dengan melihat arah matahari tenggelam.

Katanya pada hari dan masa tersebut kedudukan matahari berada betul-betul di atas Kaabah di Makkah yang menjadi kiblat umat Islam.

"Kealpaan umat Islam menentukan arah kiblat dengan tepat boleh menyebabkan arah kiblat mereka tersasar sehingga beberapa kilometer jauhnya," katanya ketika berucap merasmikan kursus lanjutan Falak (Qiblat) peringkat negeri di sini hari ini.

Kursus anjuran ILIM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Mufti Negeri Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah itu dihadiri 44 orang peserta yang mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Menurut Omar perubahan satu darjah sahaja boleh mengakibatkan arah kiblat tersasar sehingga sejauh 128 kilometer. BERNAMA

Rawatan Penyalah Gunaan Dadah Sukarela dan Pemilihan Institusi

Sebagaimana kita semua maklum, masalah dadah ini telah berleluasa sama ada dalam negara atau pun luar negara yang banyak membawa masalah kepada orang lain dan membebankan banyak pihak.

Bebanan ini terpikul di bahu kerajaan, masyarakat serta keluarga untuk melayani karenah akhlaq penyalah gunaan dadah.

Di sini saya bukan ingin membincangkan masalah yang timbul hasil dari penyalah gunaan dadah tetapi menjurus berkongsi sedikit maklumat tentang rawatannya.

Mungkin ramai yang tidak tahu, atau ramai yang tidak pernah tahu bagaimana untuk mencari, memilih, menilai untuk membuat rawatan penyalahgunaan dadah.

Ramai kalangan kita yang beranggapan bila berdepan dengan masalah ini seolah-olah tidak ada jalan untuk menyelesaikannya, dan tidak ada tempat untuk mereka selain menanti tangkapan pihak berkuasa dan menerima perintah mahkamah. Ini merupakan tanggapan yang cetek dan dangkal jika tidak berpengatahuan. Tanggapan inilah yang membawa kemusnahan lebih kronik kerana lambat bertindak atau tidak tahu cara untuk bertindak.

Untuk pengetahuan, negara kita banyak institusi-institusi yang menjalankan rawatan untuk mereka yang terjebak. Pihak kerajaan juga mempunyai caranya yang tersendiri seperti mewujudkan pusat serenti yang sekarang ini dipanggil Pusat pemulihan Penagih Narkotik (PUSPEN). Juga kita boleh memilih mana-mana institusi yang ditubuhkan untuk tujuan ini atas kapasiti bukan kerajaan atau swasta.

Kemasukkan ke Puspen ini melalui tangkapan pihak berkuasa dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah di bawah seksyen 12 (b). Walaupun begitu, kes-kes sukarela juga diterima untuk menjalani rawatan di Puspen dengan mengisi borang melaui Agensi AntiDadah Kebangsaan.

Jikalau anda bertanya, manakah lebih baik, institusi kerajaan atau swasta bagi kes sukarela untuk jalani rawatan?
Saya tidak dapat menjawab soalan ini secara tepat kerana terpulang kepada matlamat dan kemampuan. Setiap institusi mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Secara kasarnya, perbezaan antara keduanya ialah institusi kerajaan menawarkan rawatan ini secara percuma tidak melibatkan apa-apa yuran atau bayaran, tiada kos yang perlu ditanggung oleh pihak yang jalani rawatan, manakala institusi swasta sudah pasti akan mempunyai kos-kos tertentu untuk menampung operasi mereka dalam rawatan.

Dalam sudut aktiviti dan program juga berbeza setiap institusi yang menawarkan rawatan. Bagi pihak kerajaan, mereka sudah tentu mempunyai sukatan yang telah ditetapkan untuk setiap penghuni yang menjalani rawatan bersesuaian dengan kes yang diterima termasuk mengambil kira pelbagai agama, bangsa dan latarbelakang penghuni yang ada. Manakala bagi institusi rawatan swasta mereka sudah pasti mempunyai garis panduan masing dan mempunyai ciri-ciri tertentu yang diterapkan untuk mencapai objektif pemulihan dan rawatan. Pendekatan yang di bawa sesuai dengan matlamat mereka secara khusus.

Bagi institusi Islam, mereka menggunakan pendekatan yang bercirikan keIslaman antaranya seperti mengaplikasikan Tariqat sebagai kaedah rawatan, zikir-zikir khusus, kaedah-kaedah khusus untuk mencapai matlamat rawatan dan pemulihan. Cara ini bukan sahaja memberi harapan kepada fizikal malahan ianya juga membantu menguatkan spritual seseorang dan secara automatik akan membawa seseorang ke arah perkara-perkara positif.

Kesimpulannya, kita masih mempunyai harapan untuk disandarkan bagi mereka yang terlibat. Jangan biarkan keluarga kita terus-terusan dalam delima kiranya terjebak, sebab yang menanggungnya adalah kita sendiri.

Kes sukarela jangan bimbang rekod mereka tercemar, rekod mereka akan tetap bersih sebelum di jatuhkan hukuman mahkamah. Justeru itu, buatlah rawatan dan pilihlah institusi yang bersesuaian dengan anda dan kemampuan anda secara sukarela.

Pengguna layak dapat pemulangan penuh deposit

PETALING JAYA 12 Julai — Beribu-ribu pengguna yang membayar deposit untuk pelbagai transaksi gagal mendapatkan kembali deposit itu kerana mereka tidak mengetahui hak mereka.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Shaani Abdullah berkata di bawah Akta Perlindungan Pengguna, mereka layak untuk mendapatkan pemulangan penuh deposit mereka.

FOMCA telah menerima banyak aduan terutama daripada pembeli rumah yang membayar deposit pembelian tetapi terpaksa membatalkan pembelian kerana gagal memperoleh pinjaman, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

“Dalam kes-kes seperti itu, pengguna layak dapat pemulangan penuh untuk deposit kecuali telah dipersetujui bersama sebelum itu untuk menolak caj pentadbiran,” katanya.

Katanya perkara itu turut melibatkan deposit dibayar untuk kereta, barangan rumah dan barangan mahal lain yang memerlukan masa untuk diserahkan.

Muhammad menasihatkan pengguna yang gagal menuntut deposit mereka supaya membawa peniaga engkar itu kepada tribunal tuntutan awam atau mendapatkan bantuan daripada Fomca. - Bernama

12 Julai 2009

Samad Said: Bahasa Inggeris dapat RM5 bilion, bahasa Melayu dapat berapa?

KUALA LUMPUR - Sasterawan Negara Dato' A Samad Said berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan sewajarnya untuk memartabatkan bahasa Melayu di sekolah-sekolah sebagaimana yang diberikan untuk pengukuhan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Menurut Bernama, beliau berkata sekiranya kerajaan seperti yang dilaporkan memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah, ia seharusnya boleh dilakukan terhadap bahasa Melayu.

"Saya ingin tahu juga, untuk memartabatkan bahasa Melayu berapa jumlahnya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran buku antologi sajak bertajuk "Mengabdi, Melestari" sempena ulang tahun ke-30 Permodalan Nasional Berhad (PNB), di sini Jumaat.

Peruntukan RM5 bilion itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Puad Zarkashi di Dewan Negara semalam.

Sementara itu A Samad Said yang juga Penasihat Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), menyifatkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai PPSMI sebagai bukan pemansuhan PPSMI, tetapi menangguhkan pemansuhan.

"Cuma yang saya tidak setuju, ia (pemansuhan PPSMI) bukan sekarang, bukan tahun depan tetapi ia 2012," katanya.

Bagaimanapun, katanya beliau memahami bahawa pemansuhan itu tidak dapat dilakukan serta merta dan kesediaan kerajaan memenuhi tuntutan rakyat itu sudah cukup baik. _

10 Julai 2009

Bertha Hertogh atau Natrah meninggal dunia di Belanda

Tengok pengorbanan orang dulu dengan agama mereka berbanding kita sekarang, walaupun mereka terkorban tetapi mereka tetap menang dalam diri mereka bersama tuhan mereka. Tahniah semoga mendapat balasan terbaik bagi yang terkorban dan cedera dalam "Rusuhan Natrah".

KUALA LUMPUR 9 Julai - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda semalam.

Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr. Fauziah Mohd. Taib, menerusi e-mel kepada Bernama hari ini.

Bertha menjadi isu di Singapura pada 1950, akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.

Bertha ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam dan bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.

Namun undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin.

Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Dr. Fauziah berkata, Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan perasaannya masih melekat di Malaya, ketika itu.

Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.

``Menurut Bertha, beliau hanya berasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya,’’ kata Dr. Fauziah.

Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan. - Bernama

Ubat batuk, selesema tidak sesuai budak bawah 2 tahun

Malaysiakini

Kebanyakan ubat batuk dan selesema tidak sesuai digunakan bagi kanak-kanak berumur bawah dua tahun, demikian penemuan terbaru Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan.

Susulan itu, Bernama melaporkan, PBKD memutuskan untuk mengehadkan penggunaan produk untuk merawat batuk dan selesema bagi kanak-kanak, kata Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Eisah A Rahman.

Amaran keselamatan seperti "Tidak sesuai digunakan di kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah dua tahun" dan "Digunakan dengan berhati-hati dan mengikut nasihat doktor/ahli farmasi bagi kanak-kanak yang berumur di antara 2 hingga 6 tahun" wajib dinyatakan dengan jelas pada label dan sisipan bungkusan produk berkaitan, katanya dalam satu kenyataan.

Produk-produk terlibat adalah sediaan cecair melalui mulut yang mengandungi antihistamin (seperti Brompheniramine, Chlorpheniramine, Clemastine, Dexbropheniramine, Diphenhydramine, Pheniramine, Promethazine dan Triprolidine), antitusif (seperti Dextromethorphan dan Diphenhydramine) dan dekongestan (seperti Ephedrine, Phenylephrine dan Pseudoephedrine) yang digunakan untuk rawatan batuk dan selesema.

Eisah dipetik berkata produk sedia ada di pasaran berkemungkinan tidak mempunyai kenyataan amaran pada label produk mereka.

Tambah pegawai kanan kementerian itu, apabila memberi ubat batuk dan selesema kepada kanak-kanak yang berumur lebih daripada dua tahun, ibu bapa dan pengguna perlu mengikut aturan pemakanan yang dijelaskan.

Pengambilan ubat batuk dan selesema boleh membahayakan jika diberi melebihi dos yang disarankan, memberi terlalu kerap atau mengambil lebih satu jenis ubat yang mengandungi bahan aktif sama.

"Kebanyakan kandungan dalam persediaan ubat batuk dan selesema mengandungi campuran beberapa bahan ubat dan pemberian lebih daripada satu jenis ubat boleh menyebabkan dos yang berlebihan sekiranya tidak berhati-bati," Eisah dipetik berkata semalam.

Tambahnya lagi, demam biasa tidak memerlukan rawatan perubatan yang khusus, kerana kebiasaannya batuk dan selesema yang dialami kanak-kanak boleh sembuh dengan sendirinya.

"Selesema daripada jangkitan virus boleh ditangani dengan rehat, pengambilan air yang mencukupi dan mementingkan keselesaan pesakit," katanya seperti dilaporkan.

Bagaimanapun, kata Eisah, jika simptom berlarutan dan semakin teruk atau tidak menunjukkan tanda-tanda pulih atau disertai dengan demam, mukus pekat dan kahak, pengguna perlu mendapatkan nasihat doktor.

A Samad Said Kecewa Dengan Permainan PPSMI

Saya cukup tertarik dengan laporan dari Malaysiakini tentang pandangan jauh dan harapan A Samad Said dalam isu PPSMI ini. Saya cukup gembira mempunyai seorang sasterawan yang berani dan mempunyai pandangan yang tajam dan jauh. Sauadara boleh ikuti laporannya di bawah atau terus ke capaian Malaysiakini.

Bagi memansuhkan serta-merta dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), seorang Sasterawan Negara mencadangkan satu lagi demonstrasi diadakan.

anti ppsmi rally 070209 tear-gasBercakap kepada Malaysiakini malam ini, Datuk A Samad Said menyatakan rasa "tidak begitu senangnya" dengan keputusan kerajaan semalam yang hanya memansuhkan dasar kontroversi pada 2012.

"Apa yang berlaku sekarang ini bukan memansuhkan (terus) PPSMI tetapi pemansuhan berlaku pada 2012, ini hanya pengumuman penangguhan PPSMI," katanya.

Beliau diminta menjelaskan lebih lanjut kenyataan awalnya di akhbar web PAS yang menyebut "demonstrasi jalanraya perlu diadakan sekali lagi tanda komitmen seluruh rakyat membantah PPSMI dan mendesak kerajaan segera memansuhkannya."

"Setiap perkara yang tidak dapat diselesaikan di dalam Dewan Rakyat perlu diadakan demonstrasi dan demonstrasi itu halal," Harakahdaily hari ini memetik A Samad sebagai berkata dalam satu wawancara.

gmp protest 310108 samad saidSatu demonstrasi besar diadakan 7 Mac lalu, diketuai antaranya oleh A Samad sendiri, bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon baginda campur tangan membatalkan dasar tersebut yang sentiasa dibantah sejak ia diperkenalkan.

A Samad (foto kiri), yang juga penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), dilaporkan berkata "tidak ada sebab bagi kerajaan menangguhkan pemansuhan dasar tersebut hingga ke tahun 2012 sedangkan ketika mahu melaksanakannya ia boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan."

Pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata tokoh sastera itu lagi, bersifat "mengumpan rakyat untuk menghadapi pilihanraya kecil DUN Manek Urai dan juga pilihanraya umum ke-13."

"Apa yang diumumkan oleh Muhyiddin itu hanya menangguhkan pemansuhan PPSMI bukan memansuhkannya terus.

NONE"Jika benar mansuhkan, sepatutnya tahun depan semua pelajar Tahun Satu, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat sudah mula belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu," A Samad dipetik berkata.

"Alasan mengatakan untuk mansuhkan perlu ambil masa tidak logik kerana ketika perdana menteri keempat dahulu (Tun Dr Mahathir Mohamad) mahu laksanakan hanya boleh ambil masa enam bulan, kenapa perdana menteri keenam (Datuk Seri Najib Razak) perlu ambil masa tiga tahun untuk mansuhkan?"

GMP pula menganggap pengumuman kerajaan semalam bermakna "mulai 2010 semua pelajar baru Tahun Satu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 akan memulakan sesi baru tahun (depan) dengan menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sepenuhnya."

"Untuk tujuan itu kementerian seharusnya telah bersedia untuk menyediakan buku teks dan bahan-bahan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa kebangsaan atau dalam bahasa ibunda," kata Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad.

"GMP penuh berharap agar perubahan ini berlaku bukan sahaja di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah sahaja malah meliputi semua peringkat pendidikan termasuk peringkat universiti."

anti ppsmi math and science education in english school childrenUntuk menangani kelemahan penguasaan Sains dan Matematik sewaktu PPSMI dilaksanakan, menurut satu kenyataannya hari ini, GMP menggesa Kementerian Pelajaran "mengadakan kelas pemulihan untuk membaiki pencapaian mereka" setaraf dengan mutu dua mata pelajaran tersebut sebelum 2003.

Dr Hassan juga mengumumkan satu majlis Sambutan Pemansuhan PPSMI yang akan diadakan di Stadium Baru Bandar Bangi pada 9 malam 19 Julai ini.

Sementara itu Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula dilaporkan berkata pengumuman ini bertujuan menjaga "kepentingan kroni" yang membekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran PPSMI.

"Patutnya ia dimansuhkan hingga tamatnya persekolahan akhir tahun ini. Maknanya tahun hadapan, dasar itu tidak perlu lagi dilaksanakan.

"Kenapa mereka tidak mansuh segera, jawapannya ialah kerana masih ada projek termasuk membekal buku, laptop dan peralatan sebagainya yang diberi kepada kroni dalam dasar PPSMI ini," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.

Menyifatkan pengumuman itu "tidak boleh dipercayai", Mahfuz juga bimbang keputusan terbaru kerajaan itu tidak akan dilaksanakan "memandangkan dasar kerajaan sering bertukar".

Beliau dilaporkan berkata, jika BN berjaya kekalkan kemenangan kerajaan pusat pada pilihanraya umum akan datang, pemansuhan pastinya boleh berubah dengan pelbagai alasan.

"Ini sering berlaku kerana pemimpin yang ada hari ini jugalah yang mengampu dasar PPSMI ini semasa ia diumumkan Tun Dr Mahathir enam tahun lalu," Mahfuz dipetik berkata.

Pemansuhan PPSMI banyak kelebihan

Sepatutnya perkara ini sudah lama berlaku, PPSMI banyak merugikan kewangan dan intelektual. Sampai masuk lokap, kena water canon, demonstrasi dan macam. Apa pun tahniah kepada yang berwajib akhirnya mempertimbangkannya dengan saksama.

Pemansuhan PPSMI jimat kos RM40 juta

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang berkuat kuasa 2012, mampu menjimatkan perbelanjaan kira-kira RM40 juta setahun, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi.

Beliau berkata sebelum ini, perbelanjaan itu adalah untuk menampung elaun tambahan atau Bayaran Insentif Subjek Penting (BISP) yang diberikan kepada guru-guru mengajar subjek Sains dan Matematik berdasarkan kelulusan, iaitu lima peratus tambahan daripada gaji untuk guru berkelulusan ijazah manakala 10 peratus pula untuk mereka berkelulusan diploma.

Ia diberikan kepada guru-guru untuk membeli buku atau menghadiri kelas tuisyen bahasa Inggeris untuk meningkatkan kemahiran dalam bahasa Inggeris tetapi guru-guru masih tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Beliau diminta menjelaskan lanjut mengenai pengumuman pemansuhan PPSMI oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran semalam. PPSMI juga diganti dengan strategi memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Dr Puad berkata adalah lebih baik peruntukan itu disalurkan kepada proses penterjemahan buku-buku rujukan ke dalam bahasa Melayu supaya ia dapat memperkasakan pelajar dalam pembelajaran mereka.

"Kita juga mempunyai keupayaan dan pakar-pakar di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang mampu berbuat demikian," katanya.

Setakat ini, terdapat 61,040 guru sekolah rendah dan 26,389 guru sekolah menengah yang mengajar subjek Matematik dan 46,946 guru sekolah rendah dan 25,781 guru sekolah menengah yang mengajar subjek Sains di seluruh negara.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti ke-47 di Seri Kembangan dekat sini, Dr Puad berkata dalam mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, kerajaan memperuntukkan hampir RM5 bilion selain memerlukan 13,933 guru subjek itu.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran akan mengambil langkah memastikan guru-guru untuk mengajar subjek itu mencukupi khususnya di pedalaman termasuk menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi swasta untuk menggunakan khidmat siswazahnya menjalankan latihan amali di sekolah-sekolah.

Sementara itu, Pengerusi ITNM Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata ITNM menyambut baik keputusan memansuhkan PPSMI dan berharap polemik mengenainya dihentikan.

Beliau berkata Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pengalaman Jepun, Korea, Jerman, Perancis, China dan negara-negara Scandinavia yang menggunakan bahasa pertama atau bahasa nasional untuk menyampaikan ilmu di peringkat asas terutamanya Sains dan Matematik.

Dr Wan Hashim berkata negara-negara itu masih mampu memacu ke hadapan dengan pembangunan dan kemajuan dalam semua bidang.

Beliau juga berkata ITNM akan meneruskan usaha dalam menyediakan keperluan bagi melengkapkan prasarana khususnya untuk kemudahan pembelajaran di semua peringkat akademik.

Di KOTA KINABALU, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri pula berkata tindakan kerajaan menilai semula kaedah menerapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dengan memperkenalkan unsur baru yang lebih praktikal dan berkesan merupakan tindakan bijaksana dan melambangkan fleksibiliti.

"Dasar kerajaan bukanlah sesuatu yang statik dan tidak boleh diubah. Kerajaan akan sentiasa sensitif kepada pandangan pelbagai pihak dan perubahan dibuat setelah mengambil kira penilaian dan kajian objektif terhadap isu tertentu tersebut.

"Bagaimanapun, usaha memperkukuhkan bahasa Inggeris sebagai bahasa lingua franca ilmu tidak patut diabaikan sama sekali kerana dalam dunia globalisasi masa kini, kegagalan menguasai bahasa ilmu akan membataskan penguasaan ilmu dan mengehadkan keupayaan khususnya pelajar luar bandar bersaing," katanya kepada Bernama.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Sabah Musliati Moslimin pula berkata pemansuhan PPSMI wajar dibuat jika pelaksanaannya gagal mencapai matlamat.

Beliau yakin keputusan itu dibuat setelah kerajaan meneliti PPSMI daripada pelbagai aspek akademik dan mengkajinya secara mendalam.

Di KOTA BAHARU, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyambut baik keputusan Kabinet menghapuskan PPSMI dan bersetuju dengan strategi baru kerajaan Pusat untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Kabinet yang menghapuskan PPMSI, tapi sepatutnya dah lama (laksanakan)," kata Mursyidul Am PAS itu kepada pemberita di pejabatnya.

Menurutnya beliau mahu bahasa Melayu tetap dimartabatkan sebagai bahasa ibunda manakala bahasa Inggeris tetap menjadi asas rujukan menerusi kaedah pembelajaran melalui subjek tertentu. BERNAMA

04 Julai 2009

Usahawan Malaysia mahu beli kelab Newcastle United

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 3 Julai – Sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dikaitkan berminat untuk membeli kelab bola sepak England, Newcastle United, lapor media Britain hari ini.

Akhbar Mirror dalam laman webnya, www.mirror.co.uk memetik kenyataan pemilik Newcastle, Mike Ashley yang mengakui telah dikunjungi prospek pembeli - iaitu sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dalam satu pertemuan rahsia.

Ashley, seorang ahli perniagaan yang membina kekayaan menerusi rangkaian kedai barangan sukan mula menyuarakan hasrat untuk menjual kelab England itu selepas ia tersingkir daripada saingan Liga Perdana, musim lalu.

Identiti ahli perniagaan dari Malaysia itu tidak didedahkan, namun kehadiran mereka dikesan oleh kakitangan dan para pemain kelab ketika keempat-empat mereka dibawa melawat stadium dan gelanggang latihan.

Ashley yang membeli Newcastle dengan harga 135 juta pound (RM752 juta) pada 2006 dikatakan tidak sabar lagi untuk menjual kelab tersebut yang hingga kini masih belum memiliki pengurus, sebulan sebelum cabaran kejuaraan bermula.

Bulan lalu, ahli Lembaga Pengarah Newcastle United mengumumkan bahawa kelab itu akan dijual dengan harga 100 juta pound (RM555.7 juta).

Untuk rekod, syarikat automobil nasional, Proton merupakan syarikat Malaysia pertama melibatkan diri dalam bola sepak England menerusi penajaan jersi bekas kelab Liga Perdana, Norwich City pada musim 2003-2006.

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia pula menjadi penaja jersi pengadil perlawanan Liga Perdana, yang mana logo mereka tertera di lengan baju pengadil dan pembantu pengadil dalam lebih 50 perlawanan.

03 Julai 2009

Syiling peringatan Ulang Tahun ke-50 Parlimen dilancar

Sumber mStarOnline

SYILING EMAS DILANCAR..Pegawai Bank Negara, Rabiah Zulfakar Ahmad, menunjukkan tiga jenis duit syiling emas yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 Parlimen Malaysia. Foto THE STAR Oleh:NORAFIFI EHSAN.

KUALA LUMPUR: Tiga jenis syiling peringatan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 Parlimen Malaysia dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, hari ini.

Syiling itu dilancarkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh di bangunan Parlimen, di sini.

Tiga jenis syiling tersebut yang terdiri daripada Syiling Peringatan Emas (pruf), Perak (pruf) dan Emas Nordic masingmasing akan dijual dengan harga RM1,200, RM150 dan RM10 sekeping.

Syiling emas dengan nilai muka RM100 diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Sebanyak 100 keping syiling sahaja ditempa.

Syiling perak dengan nilai muka RM10, diperbuat daripada perak Sterling dengan ketulenan 92.5, seberat 21.00 gram sekeping. Ia ditempa pada kuantiti sebanyak 300 keping sahaja.

Syiling emas Nordic pula bernilai muka RM1 dan sebanyak 10,000 keping ditempah.

Bahagian hadapan syiling itu memaparkan bangunan Parlimen dengan tahun "19592009" tertera di bawahnya. Pada sisi syiling tersebut, terdapat lambang anak bulan dengan perkataan "Ulang Tahun Ke-50 Parlimen Malaysia" tertera di dalamnya.

Pada bahagian atas kanan syiling itu pula tertera bintang pecah 14 yang melambangkan 14 negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan.

Bahagian belakang syiling pula memaparkan jata negara Malaysia serta cokmar-cokmar Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Perkataan "Bank Negara Malaysia" dan nilai muka syiling masing-masing tertera pada bahagian atas dan bawahnya.

Syiling itu akan dijual mulai esok di ibu pejabat Bank Negara Malaysia dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Baharu, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Pada sidang media selepas itu, Abdul Hamid berkata pelancaran syiling peringatan itu merupakan salah satu daripada acara sambutan Ulang Tahun ke-50 Parlimen yang berlangsung sepanjang tahun ini.

"Acara kemuncak sambutan ini ialah jamuan malam bagi meraikan kira-kira 1,000 anggota Parlimen termasuk bekas anggotanya pada Disember depan. Sebuah filem dokumentari dan dua buah buku mengenai sejarah Parlimen akan turut diterbitkan tidak lama lagi," katanya. BERNAMA

01 Julai 2009

80 peratus pelayar Facebook Sinar Harian setuju diadakan debat terbuka

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Hampir 80 peratus pembaca yang melayari laman Facebook Sinar Harian mahukan debat terbuka yang dicadangkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

:Melalui laman Facebook yang dikelolakan Sinar Harian itu juga ramai berpendapat bahawa Najib perlu memberi reaksi positif berkenaan perkara itu dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan khususnya terhadap beliau.

:Antara reaksi yang diberikan, perdebatan sebegini perlu dalam usaha membawa kebaikan dan penyatuan semula bangsa terutamanya Melayu namun jika ia membawa kepada rasa benci dan menjarakkan jurang perpaduan, ia sama sekali tidak perlu.

:Dalam laman itu juga ada pihak yang menyokong agar ia dijadikan pentas membaiki reputasi, malahan ada yang menyokongnya agar ia menjadi pentas menyatukan bangsa.

:“Najib perlu menerima tawaran debat yang dianjurkan kerana ramai pihak yang akan bersetuju dengan tindakan ini termasuklah DAP, ia bakal membuka mata telinga semua pihak tentang siapa sebenarnya Najib.

:“Karisma serta keupayaannya akan diketahui oleh mereka yang sebelum ini tertutup dengan satu pandangan.

:“Pada masa yang sama, masyarakat sendiri mampu menilai Nik Aziz dari segala segi sama ada emosi, sikap dan keprihatinan beliau,” memetik salah satu reaksi pembaca.

:Melalui laman itu juga ada yang berpendapat bahawa ia merupakan langkah awal sebelum perdebatan yang sebenarnya, selepas selesai debat (jika berlaku), orang akan tahu menilai apa yang disampaikan dan mula bertanya kepada diri sendiri.

:“Debat sebenar akan berlaku di peringkat penerimaan masyarakat, dan apa yang berlaku di pentas debat itu hanyalah permulaan kepada debat yang sebenar,” reaksi dalam laman berkenaan.

:Dalam pada itu, mengulas isu yang sama, ada pembaca yang turut mencadangkan agar debat sebegini diterima semua pihak dalam membentuk masyarakat yang mempunyai keupayaan intelek yang tinggi.

Bahana lalok dadah, gam

Oleh Zuliaty Zulkiffli


JITRA: Seorang lelaki yang dalam keadaan khayal akibat mengambil dadah dan menghidu gam tergamak menggigit cuping telinga bapa tiri sehingga putus sebelum mengunyah dan menelannya apabila cuba dihalang menikam ibunya, tengah malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam di Kampung Alor Batu, Mukim Gelong di sini ketika lelaki berusia 27 tahun itu naik angin apabila ibunya enggan membuka pintu kerana pulang terlalu lewat.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yop, berkata kejadian berlaku ketika dia memeluk anak tirinya yang dalam keadaan khayal dan mahu menikam ibu sendiri.

“Disebabkan tidak berjaya melepaskan diri, dia menggigit cuping telinga kanan saya sekuat hati hingga putus sebahagiannya, namun saya terus memeluknya hingga polis tiba walaupun terasa sakit amat sangat,” katanya.

Mengimbas kejadian itu, Yob yang juga kakitangan kerajaan, berkata dia sedang tidur di ruang tamu rumah isteri keduanya itu sebelum terdengar bunyi ketukan pintu bertalu-talu.

Isterinya yang berusia 40-an enggan membuka pintu kerana marah dengan tindakan anak tirinya yang sering pulang terlalu lewat.

Berikutan tidak mahu kecoh dan mengganggu jiran selain berasa kasihan, Yop bangun membuka pintu.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila anak tirinya meluru ke arahnya dengan perasaan marah.

“Saya cuba mengelak, tetapi dia mengeluarkan sebilah pisau lalu meluru untuk menikam ibunya, tetapi saya sempat memeluk untuk mengelak dia bertindak ganas.

“Ketika dalam pelukan saya, dia meronta-ronta untuk melepaskan diri, tetapi gagal sebelum dia menggigit cuping telinga kanan saya sekuat hati sehingga putus,” katanya yang menerima beberapa jahitan di telinga yang kini `kudung’ sebahagian.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, isterinya sempat menghubungi polis.

“Ketika itu saya berasa kesakitan yang amat sangat di telinga, tetapi tidak menyedari ia sudah putus dan berdarah hinggalah polis tiba di rumah kami tidak lama kemudian,” katanya.

Dia dibawa ke Hospital Jitra (HJ) kira-kira lima kilometer dari rumah mereka dengan menaiki motosikal yang ditunggang isterinya, kira-kira jam 1.30 pagi.

Berikutan itu, Yob membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.

Yob berkata, anak tirinya yang sudah beberapa kali keluar dan masuk penjara serta hospital untuk rawatan dan dia tidak menyangka kali ini, suspek akan bertindak lebih agresif.

Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Download Al Quran mp3

Bacaan Syeikh Said Saad Al Ghamidi, untuk download sila klik link di bawah :

Halwa Telinga

Dikir Barat
Iklim
P Ramli
Lebaran

Galeri gambar MyPustaka

Subscribe to myPustaka

Inspirasi Anda Adalah Inspirasi Bersama

myPustaka at Yahoo! Groups

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP