Agama - Tahanan Reman Peguam Sah
Berita Pilihan
PUTRAJAYA 26 Ogos - Perintah tahanan reman terhadap seorang peguam berhubung siasatan kes penculikan anak guamnya, Nor'aishah Bokhari yang didakwa murtad lebih 11 tahun lalu, diisytiharkan sah oleh Mahkamah Rayuan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Md. Raus Sharif memutuskan demikian hari ini setelah menolak rayuan Leonard Teoh Hooi Leong, 68, agar perintah reman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Pontian, Johor itu dibatalkan.
Hakim Md. Raus yang bersidang bersama Hakim Datuk Sulong Matjeraie dan Hakim Datuk Ahmad Maarop sebulat suara berpendapat, majistret bertindak mengikut undang-undang yang betul ketika memerintahkan peguam itu direman 10 hari bermula 14 Januari 1998.
Sehubungan itu, panel berkenaan berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi Johor Bahru betul ketika memutuskan untuk tidak menyemak perintah Mahkamah Majistret itu.
Pada 19 Januari 1998, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menolak permohonan Leonard untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret Pontian yang membenarkan lelaki itu direman ekoran keengganannya mendedahkan di mana Nor'aishah, 37, atau nama Kristiannya, Aishah Felicia Bokhari berada.
Siasatan polis bermula setelah Nor'aishah yang ketika itu berusia 25 tahun hilang dari rumah keluarganya di Pontian pada 30 Disember 1997 selepas didakwa diculik oleh kekasihnya yang beragama Kristian.
Maklumat awal mendapati Nor'aishah melantik Leonard untuk mendapat nasihat bagi membolehkannya membuat pernyataan bersumpah keluar daripada agama Islam yang kemudian diikrarkan pada 22 Oktober 1997. - Utusan
0 ulasan:
Catat Ulasan