Perjanjian yang Dibuat oleh Pembesar Perak di Pulau Pangkor, 1874
Diambil daripada Perjanjian dan Dokumentasi Lama Malaysia, Kuala Lumpur: ITNMB (2008)
Bahawasanya keadaan huru-hara sedang berlaku dalam Kerajaan Perak disebabkan oleh ketiadaan pemerintah yang tetap di Negeri itu dan tidak wujud kuasa yang berkesan untuk melindungi rakyat dan untuk menjamin hasil usaha mereka, dan,
Bahawasanya sebilangan besar orang Cina yang diupah dan sejumlah besar wang yang dilaburkan dalam perusahaan bijih timah di Perak oleh rakyat British dan lain-lain yang bermastautin dalam Tanah Jajahan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, dan lombong serta harta tersebut tidak dilindungi secukupnya, dan kegiatan lanun, pembunuhan, pembakaran sengaja berlaku dengan berleluasa di negeri tersebut, dan ini menyebabkan perdagangan dan kepentingan British terjejas teruk dan keamanan serta ketenteraman Petempatan British yang berjiranan dengannya kadang-kadang turut terancam, dan,
Bahawasanya sesetengah Pembesar semasa Kerajaan Perak telah menyatakan ketakmampuan mereka mengawal kacau-bilau yang melanda sekarang ini, dan bersama-sama dengan mereka yang berkepentingan dalam perusahaan negeri ini telah memohon bantuan, dan,
Bahawasanya Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen terikat oleh Syarat Persetiaan bagi melindungi Kerajaan tersebut dan membantu pemerintahnya, maka dengan ini,
Tuan Yang Terutama SIR ANDREW CLARKE, K.C.M.G., C.B., Gabenor Tanah Jajahan Negeri-Negeri Se1at, sebagai mematuhi permintaan tersebut, dan dengan tujuan membantu pemerintah tersebut dan bagi mewujudkan penyelesaian yang berkekalan terhadap masalah di Perak, telah mencadangkan Perkara perkiraan yang berikut sebagai yang boleh mendatangkan manfaat bersama kepada Pemerintah Bebas Negeri Perak, rakyatnya, rakyat Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan orang lain yang bermastautin atau yang berdagang di Negeri Perak, iaitu:-
I. Pertama. – Bahawa Raja Muda Abdullah diiktiraf sebagai Sultan Perak.
II. Kedua. – Bahawa Raja Bendahara Ismail, yang sekarang ini menjadi Pemangku Sultan, dibenar mengekalkan gelaran Sultan Muda dengan diberi pencen dan sebuah Wilayah kecil diserahkan hak kepadanya.
III. Ketiga. – Bahawa segala pelantikan Pegawai-pegawai besar lain yang dibuat pada masa Raja Bendahara Ismail menerima alat kebesaran diraja, hendaklah disahkan.
IV. Keempat. – Bahawa kuasa yang diberikan kepada Orang Kaya Menteri ke atas Larut oleh Al-Marhum Sultan hendaklah disahkan.
V. Kelima. – Bahawa semua hasil negeri hendaklah dikutip dan semua pelantikan hendaklah dibuat atas nama Sultan.
VI. Keenam. – Bahawa Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang dinamakan Residen, yang akan ditauliahkan ke istana Baginda, dan nasihatnya mestilah dirninta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.
VII. Ketujuh. – Seorang Penolong Residen, iaitu seorang Pegawai British yang bertindak di bawah Residen Perak, dengan kuasa yang serupa dan tertakluk hanya kepada Residen tersebut hendaklah ditempatkan di istana Gabenor Larut.
VIII. Kelapan. – Bahawa pembiayaan untuk Residen-residen ini dan Perjawatan mereka hendaklah ditentukan oleh Kerajaan Negeri-negeri Selat dan menjadi tanggungan pertama daripada hasil Negeri Perak.
IX. Kesembilan. – Bahawa peruntukan diraja yang mengawal selia pendapatan yang akan diterima oleh Sultan, Bendahara, Menteri, dan Pegawai lain hendaklah menjadi tanggungan seterusnya daripada hasil tersebut.
X. Kesepuluh. – Bahawa pemungutan dan pengawalan segala hasil dan pentadbiran am negeri dikawal selia di bawah nasihat Residen-residen ini.
XI. Kesebelas. – Bahawa Persetiaan di mana Pulau Dinding dan pulau-pulau Pangkor telah diserahkan kepada Great Britain telah tersalah faham, dan dengan yang demikian, maka perlulah diselaraskan semula supaya dapat dikuatkuasakan tujuan sebenar para penggubal
Persetiaan itu, dan dengan ini maka diisytiharkan bahawa sempadan wilayah yang diserahkan itu hendaklah diperbetulkan seperti berikut:-
Dari Bukit Sigari, seperti yang tertera dalam Lembaran Carta No.1 Selat Melaka, yang salinannya dilampirkan, dengan bertanda A, merentas lurus hingga ke laut, kemudiannya di sepanjang pantai laut ke selatan, ke Pulau Katta di sebelah Barat, dan dari Pulau Katta merentang ke timur laut kira-kira sepanjang lima batu, dan kemudiannya ke utara, iaitu ke Bukit Sigari.
XII. Kedua belas. – Bahawa legih selatan Sungai Krian, iaitu bahagian kawasan yang salirannya masuk ke sungai itu dari selatan diisytiharkan sebagai Wilayah British, sebagai membetulkan Sempadan Selatan Province Wellesley (Seberang Prai). Sempadan itu hendaklah ditandakan oleh Pesuruhjaya, seorang yang dinamakan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat, dan seorang lagi dinamakan oleh Sultan Perak.
XIII. Ketiga belas. – Bahawa apabila keadaan kacau-bilau sekarang ini sudah terhenti di Negeri Perak dan keamanan dan ketenteraman telah kembali pulih dalam kalangan puak-puak yang berbalah di Negeri itu, maka langkah-langkah segera di bawah kawalan dan seliaan seorang atau lebih daripada seorang Pegawai British hendaklah dilaksanakan bagi memulihkan sejauh mana yang boleh dilakukan kerja-kerja perlombongan dan pemilikan alat jentera, dll., seperti keadaan sebelum berlaku kacau-bilau, serta bagi menguruskan pembayaran pampasan kerana kerosakan, dan keputusan pegawai atau pegawai-pegawai itu dalam hal sedemikian adalah muktamad.
XIV. Keempat belas. – Menteri Larut berjanji mengaku sebagai hutangnya kepada Kerajaan Negeri-negeri Selat untuk segala caj dan perbelanjaan yang ditanggung atas penyiasatan ini, dan juga atas caj dan perbelanjaan yang ditanggung oleh Tanah Jajahan Negeri-negeri Selat dan Great Britain dalam usaha mereka bagi mewujudkan ketenteraan di Negeri Perak dan keselamatan perdagangan.
Perkara di atas telah dibaca dan telah dijelaskan kepada mereka yang berkenaan yang telah memaharni perkara-perkara itu dan masing-masing bersetuju dan menerimanya sebagai mengikat diri mereka dan Waris serta Pengganti mereka.
Peijanjian ini dibuat dan diikat di Pulau Pangkor dalam Tanah Jajahan British, pada dua puluh hari bulan Januari tahun Masihi satu ribu lapan ratus tujuh puluh empat.
Disempumakan di hadapan saya,
ANDREW CLARKE,
Gabenor, Panglima Besar dan Laksamana Madya Negeri-Negeri Selat.
Cap Mohor Sultan Perak.
Cap Mohor Bendahara Perak.
Cap Mohor Temenggung Perak.
Cap Mohor Menteri Perak.
Cap Mohor Syahbandar Perak.
Cap Mohor Raja Mahkota Perak.
Cap Mohor Laksamana Perak.
Cap Mohor Dato' Sagor.
Teks diambil dari Maxwell & Gibson 1924: 28-30.
0 ulasan:
Catat Ulasan