Memaparkan catatan dengan label dadah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dadah. Papar semua catatan

13 Julai 2009

Rawatan Penyalah Gunaan Dadah Sukarela dan Pemilihan Institusi

Sebagaimana kita semua maklum, masalah dadah ini telah berleluasa sama ada dalam negara atau pun luar negara yang banyak membawa masalah kepada orang lain dan membebankan banyak pihak.

Bebanan ini terpikul di bahu kerajaan, masyarakat serta keluarga untuk melayani karenah akhlaq penyalah gunaan dadah.

Di sini saya bukan ingin membincangkan masalah yang timbul hasil dari penyalah gunaan dadah tetapi menjurus berkongsi sedikit maklumat tentang rawatannya.

Mungkin ramai yang tidak tahu, atau ramai yang tidak pernah tahu bagaimana untuk mencari, memilih, menilai untuk membuat rawatan penyalahgunaan dadah.

Ramai kalangan kita yang beranggapan bila berdepan dengan masalah ini seolah-olah tidak ada jalan untuk menyelesaikannya, dan tidak ada tempat untuk mereka selain menanti tangkapan pihak berkuasa dan menerima perintah mahkamah. Ini merupakan tanggapan yang cetek dan dangkal jika tidak berpengatahuan. Tanggapan inilah yang membawa kemusnahan lebih kronik kerana lambat bertindak atau tidak tahu cara untuk bertindak.

Untuk pengetahuan, negara kita banyak institusi-institusi yang menjalankan rawatan untuk mereka yang terjebak. Pihak kerajaan juga mempunyai caranya yang tersendiri seperti mewujudkan pusat serenti yang sekarang ini dipanggil Pusat pemulihan Penagih Narkotik (PUSPEN). Juga kita boleh memilih mana-mana institusi yang ditubuhkan untuk tujuan ini atas kapasiti bukan kerajaan atau swasta.

Kemasukkan ke Puspen ini melalui tangkapan pihak berkuasa dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah di bawah seksyen 12 (b). Walaupun begitu, kes-kes sukarela juga diterima untuk menjalani rawatan di Puspen dengan mengisi borang melaui Agensi AntiDadah Kebangsaan.

Jikalau anda bertanya, manakah lebih baik, institusi kerajaan atau swasta bagi kes sukarela untuk jalani rawatan?
Saya tidak dapat menjawab soalan ini secara tepat kerana terpulang kepada matlamat dan kemampuan. Setiap institusi mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Secara kasarnya, perbezaan antara keduanya ialah institusi kerajaan menawarkan rawatan ini secara percuma tidak melibatkan apa-apa yuran atau bayaran, tiada kos yang perlu ditanggung oleh pihak yang jalani rawatan, manakala institusi swasta sudah pasti akan mempunyai kos-kos tertentu untuk menampung operasi mereka dalam rawatan.

Dalam sudut aktiviti dan program juga berbeza setiap institusi yang menawarkan rawatan. Bagi pihak kerajaan, mereka sudah tentu mempunyai sukatan yang telah ditetapkan untuk setiap penghuni yang menjalani rawatan bersesuaian dengan kes yang diterima termasuk mengambil kira pelbagai agama, bangsa dan latarbelakang penghuni yang ada. Manakala bagi institusi rawatan swasta mereka sudah pasti mempunyai garis panduan masing dan mempunyai ciri-ciri tertentu yang diterapkan untuk mencapai objektif pemulihan dan rawatan. Pendekatan yang di bawa sesuai dengan matlamat mereka secara khusus.

Bagi institusi Islam, mereka menggunakan pendekatan yang bercirikan keIslaman antaranya seperti mengaplikasikan Tariqat sebagai kaedah rawatan, zikir-zikir khusus, kaedah-kaedah khusus untuk mencapai matlamat rawatan dan pemulihan. Cara ini bukan sahaja memberi harapan kepada fizikal malahan ianya juga membantu menguatkan spritual seseorang dan secara automatik akan membawa seseorang ke arah perkara-perkara positif.

Kesimpulannya, kita masih mempunyai harapan untuk disandarkan bagi mereka yang terlibat. Jangan biarkan keluarga kita terus-terusan dalam delima kiranya terjebak, sebab yang menanggungnya adalah kita sendiri.

Kes sukarela jangan bimbang rekod mereka tercemar, rekod mereka akan tetap bersih sebelum di jatuhkan hukuman mahkamah. Justeru itu, buatlah rawatan dan pilihlah institusi yang bersesuaian dengan anda dan kemampuan anda secara sukarela.

01 Julai 2009

Bahana lalok dadah, gam

Oleh Zuliaty Zulkiffli


JITRA: Seorang lelaki yang dalam keadaan khayal akibat mengambil dadah dan menghidu gam tergamak menggigit cuping telinga bapa tiri sehingga putus sebelum mengunyah dan menelannya apabila cuba dihalang menikam ibunya, tengah malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam di Kampung Alor Batu, Mukim Gelong di sini ketika lelaki berusia 27 tahun itu naik angin apabila ibunya enggan membuka pintu kerana pulang terlalu lewat.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yop, berkata kejadian berlaku ketika dia memeluk anak tirinya yang dalam keadaan khayal dan mahu menikam ibu sendiri.

“Disebabkan tidak berjaya melepaskan diri, dia menggigit cuping telinga kanan saya sekuat hati hingga putus sebahagiannya, namun saya terus memeluknya hingga polis tiba walaupun terasa sakit amat sangat,” katanya.

Mengimbas kejadian itu, Yob yang juga kakitangan kerajaan, berkata dia sedang tidur di ruang tamu rumah isteri keduanya itu sebelum terdengar bunyi ketukan pintu bertalu-talu.

Isterinya yang berusia 40-an enggan membuka pintu kerana marah dengan tindakan anak tirinya yang sering pulang terlalu lewat.

Berikutan tidak mahu kecoh dan mengganggu jiran selain berasa kasihan, Yop bangun membuka pintu.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila anak tirinya meluru ke arahnya dengan perasaan marah.

“Saya cuba mengelak, tetapi dia mengeluarkan sebilah pisau lalu meluru untuk menikam ibunya, tetapi saya sempat memeluk untuk mengelak dia bertindak ganas.

“Ketika dalam pelukan saya, dia meronta-ronta untuk melepaskan diri, tetapi gagal sebelum dia menggigit cuping telinga kanan saya sekuat hati sehingga putus,” katanya yang menerima beberapa jahitan di telinga yang kini `kudung’ sebahagian.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, isterinya sempat menghubungi polis.

“Ketika itu saya berasa kesakitan yang amat sangat di telinga, tetapi tidak menyedari ia sudah putus dan berdarah hinggalah polis tiba di rumah kami tidak lama kemudian,” katanya.

Dia dibawa ke Hospital Jitra (HJ) kira-kira lima kilometer dari rumah mereka dengan menaiki motosikal yang ditunggang isterinya, kira-kira jam 1.30 pagi.

Berikutan itu, Yob membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu.

Yob berkata, anak tirinya yang sudah beberapa kali keluar dan masuk penjara serta hospital untuk rawatan dan dia tidak menyangka kali ini, suspek akan bertindak lebih agresif.

Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

24 November 2008

TARIKAT SEBAGAI RAWATAN KETAGIHAN DADAH

Pelbagai teori telah diketengahkan sebagai pendekatan untuk merawat mereka yang terjerumus dalam masalah penyalahgunaan dadah. Antaranya ialah kaedah psikologi yang diperkenalkan oleh barat dan pelbagai kaedah-kaedah lain yang diketengahkan oleh pihak kerajaan.

Setelah mengadakan lawatan ke Pondok Remaja Inabah 1 Malaysia, Kuala Nerang, kedah. Saya amat tertarik dengan cara pendekatan yang diterap oleh institusi ini untuk merawat jiwa manusia, termasuklah bagi mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Apa yang menariknya, Pondok Inabah ini bukan sahaja menjalankan aktiviti tarikat sebagaimana yang kita dengar atau lihat dengan merawat jiwa, menanam keinsafan, mendekatkan diri kepada tuhan sahaja, bahkan ianya meliputi rawatan dan pemulihan bagi mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dengan menggunakan kaedah Zikir Tarikat.


Latar Belakang Pondok Inabah Remaja 1 Malaysia.

Pondok Remaja Inabah merupakan sebuah institusi pusat untuk aktiviti Tarikat Qadiriyyah Naqsyabandiyyah yang berpangkalan di Pondok Pesantren Suryalaya, Indonesia. Terdapat tiga cawangan di Malaysia, iaitu di Kuala Nerang, Kedah, Terengganu, dan Sabah.

Pondok Remaja Inabah Kuala Nerang, Kedah diterajui oleh Pak Guru Hj. Mohd Zuki Assyuja’ b. Shafie yang mula ditubuhkan pada tahun 1980 bertempat di rumah belaiu sendiri kg. Pulau Bidin, Langgar, Alor Star, Kedah. Kemudian pada tahun 1996 berpindah ke Kg. Paya, Mukim Padang Temak, Kuala Nerang, Kedah.

Pada tahun 1991 menjadi Pusat Lanjutan PEMADAM Kebangsaan dan mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Pemulihan Dadah Persendirian daripada Agensi AntiDadah Kebangsaan pada tahun 1998.

Surau Pondok Remaja Inabah sebagai tempat aktiviti rawatan dan pemulihan

Kaedah dan Konsep Rawatan dan Pemulihan

Secara umumnya kaedah rawatan melalui pendekatan Tarikat Qadiriyyah Naqsyabandiyyah. Setiap mereka yang mula masuk di sini akan menjalani tiga kaedah rawatan utama iaitu 1. Mandi 2. Solat 3. Zikir.

Menekankan konsep pembinaan serta bimbingan rohani dan jasmani, Ma’rifatullah (mengenal Allah), dan Taubat.

Pengisian dalam Rawatan dan Pemulihan terdiri dari: Talqin dan Bai’h (janji), Zikir, Solat (Fardhu dan Sunat), Khotaman (secara mingguan), dan Manaqiban (bulanan)

Alternatif

Pondok Remaja Inabah merupakan sebuah institusi yang sesuai sebagai alternatif selain Pusat Serenti yang disediakan oleh kerajaan untuk membina dan membimbing mangsa penyalahgunaan dadah, masalah sosial remaja, serta mereka yang mengalami tidak ketenteraman jiwa untuk kembali ke jalan yang benar menurut perintah Allah.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai kewangan yang kukuh dan tidak mahu melibatkan mahkamah yang boleh menjejaskan rekod individu dalam simpanan kerajaan.

(Edit)Terima kasih kepada pengunjung myPustaka.blogspot.com yang banyak memberi sokongan selama ini. Saya juga momohon maaf atas kekurangan yang terdapat dalam posting. InsyaAllah saya akan perbaiki dari masa kesemasa dalam terus mengedit posting mengikut keperluan.

Nampaknya posting ini mendapat pelayar yang agak tinggi, saya sertakan nombor telefon Inabah Kuala Nerang untuk kemudahan pelayar berhubung terus dengan pihak Inabah. 04-7823996

Halwa Telinga

Dikir Barat
Iklim
P Ramli
Lebaran

Galeri gambar MyPustaka

Subscribe to myPustaka

Inspirasi Anda Adalah Inspirasi Bersama

myPustaka at Yahoo! Groups

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP