Memaparkan catatan dengan label kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kesihatan. Papar semua catatan

02 Disember 2009

Rokok : Liow Tiong Lai Tersasar

Penjualan paket rokok yang mengandungi kurang daripada 20 batang adalah dilarang mulai 1 Jun tahun depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sejajar dengan keputusan itu, pihak syarikat rokok diberi masa tujuh bulan mulai sekarang hingga 31 Mei ini untuk menghabiskan stok paket rokok yang kurang daripada 20 batang rokok di pasaran.

"Larangan penjualan paket rokok bungkusan kecil ini adalah bertujuan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan golongan kanak-kanak dan remaja untuk membeli dan memulakan tabiat merokok yang tidak sihat dan merugikan," katanya. BERNAMA

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai amat tersasar kerana rata-rata kita dapat menyaksikan masih banyak kedai masih menawarkan rokok secara "beli batang" yang mendapat sambutan anak muda terutama pelajar-pelajar sekolah.

Sewajarnya bukan larangan jualan jumlah kapasiti kotak bawah 20 batang yang menjadi pilihan untuk membendung "budak-budak" merokok yang diwartakan pada 23 Sept 2004 melalui peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 tetapi mengutamakan penguatkuasaan bagi membendung pembelian secara batang lebih memberi makna untuk membendung golongan kanak-kanak berjinak-jinak dengan rokok.

Sekiranya perkara ini diabaikan, Liow Tiong Lai dianggap hasrat menyelesaikan dan membendung gejala ini seperti "budak-budak" kerana tindakannya seolah-olah tidak berasaskan realiti dan perancangan yang teliti melalui kaji-selidik dilapangan.

13 Julai 2009

Rawatan Penyalah Gunaan Dadah Sukarela dan Pemilihan Institusi

Sebagaimana kita semua maklum, masalah dadah ini telah berleluasa sama ada dalam negara atau pun luar negara yang banyak membawa masalah kepada orang lain dan membebankan banyak pihak.

Bebanan ini terpikul di bahu kerajaan, masyarakat serta keluarga untuk melayani karenah akhlaq penyalah gunaan dadah.

Di sini saya bukan ingin membincangkan masalah yang timbul hasil dari penyalah gunaan dadah tetapi menjurus berkongsi sedikit maklumat tentang rawatannya.

Mungkin ramai yang tidak tahu, atau ramai yang tidak pernah tahu bagaimana untuk mencari, memilih, menilai untuk membuat rawatan penyalahgunaan dadah.

Ramai kalangan kita yang beranggapan bila berdepan dengan masalah ini seolah-olah tidak ada jalan untuk menyelesaikannya, dan tidak ada tempat untuk mereka selain menanti tangkapan pihak berkuasa dan menerima perintah mahkamah. Ini merupakan tanggapan yang cetek dan dangkal jika tidak berpengatahuan. Tanggapan inilah yang membawa kemusnahan lebih kronik kerana lambat bertindak atau tidak tahu cara untuk bertindak.

Untuk pengetahuan, negara kita banyak institusi-institusi yang menjalankan rawatan untuk mereka yang terjebak. Pihak kerajaan juga mempunyai caranya yang tersendiri seperti mewujudkan pusat serenti yang sekarang ini dipanggil Pusat pemulihan Penagih Narkotik (PUSPEN). Juga kita boleh memilih mana-mana institusi yang ditubuhkan untuk tujuan ini atas kapasiti bukan kerajaan atau swasta.

Kemasukkan ke Puspen ini melalui tangkapan pihak berkuasa dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah di bawah seksyen 12 (b). Walaupun begitu, kes-kes sukarela juga diterima untuk menjalani rawatan di Puspen dengan mengisi borang melaui Agensi AntiDadah Kebangsaan.

Jikalau anda bertanya, manakah lebih baik, institusi kerajaan atau swasta bagi kes sukarela untuk jalani rawatan?
Saya tidak dapat menjawab soalan ini secara tepat kerana terpulang kepada matlamat dan kemampuan. Setiap institusi mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Secara kasarnya, perbezaan antara keduanya ialah institusi kerajaan menawarkan rawatan ini secara percuma tidak melibatkan apa-apa yuran atau bayaran, tiada kos yang perlu ditanggung oleh pihak yang jalani rawatan, manakala institusi swasta sudah pasti akan mempunyai kos-kos tertentu untuk menampung operasi mereka dalam rawatan.

Dalam sudut aktiviti dan program juga berbeza setiap institusi yang menawarkan rawatan. Bagi pihak kerajaan, mereka sudah tentu mempunyai sukatan yang telah ditetapkan untuk setiap penghuni yang menjalani rawatan bersesuaian dengan kes yang diterima termasuk mengambil kira pelbagai agama, bangsa dan latarbelakang penghuni yang ada. Manakala bagi institusi rawatan swasta mereka sudah pasti mempunyai garis panduan masing dan mempunyai ciri-ciri tertentu yang diterapkan untuk mencapai objektif pemulihan dan rawatan. Pendekatan yang di bawa sesuai dengan matlamat mereka secara khusus.

Bagi institusi Islam, mereka menggunakan pendekatan yang bercirikan keIslaman antaranya seperti mengaplikasikan Tariqat sebagai kaedah rawatan, zikir-zikir khusus, kaedah-kaedah khusus untuk mencapai matlamat rawatan dan pemulihan. Cara ini bukan sahaja memberi harapan kepada fizikal malahan ianya juga membantu menguatkan spritual seseorang dan secara automatik akan membawa seseorang ke arah perkara-perkara positif.

Kesimpulannya, kita masih mempunyai harapan untuk disandarkan bagi mereka yang terlibat. Jangan biarkan keluarga kita terus-terusan dalam delima kiranya terjebak, sebab yang menanggungnya adalah kita sendiri.

Kes sukarela jangan bimbang rekod mereka tercemar, rekod mereka akan tetap bersih sebelum di jatuhkan hukuman mahkamah. Justeru itu, buatlah rawatan dan pilihlah institusi yang bersesuaian dengan anda dan kemampuan anda secara sukarela.

10 Julai 2009

Ubat batuk, selesema tidak sesuai budak bawah 2 tahun

Malaysiakini

Kebanyakan ubat batuk dan selesema tidak sesuai digunakan bagi kanak-kanak berumur bawah dua tahun, demikian penemuan terbaru Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan.

Susulan itu, Bernama melaporkan, PBKD memutuskan untuk mengehadkan penggunaan produk untuk merawat batuk dan selesema bagi kanak-kanak, kata Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Eisah A Rahman.

Amaran keselamatan seperti "Tidak sesuai digunakan di kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah dua tahun" dan "Digunakan dengan berhati-hati dan mengikut nasihat doktor/ahli farmasi bagi kanak-kanak yang berumur di antara 2 hingga 6 tahun" wajib dinyatakan dengan jelas pada label dan sisipan bungkusan produk berkaitan, katanya dalam satu kenyataan.

Produk-produk terlibat adalah sediaan cecair melalui mulut yang mengandungi antihistamin (seperti Brompheniramine, Chlorpheniramine, Clemastine, Dexbropheniramine, Diphenhydramine, Pheniramine, Promethazine dan Triprolidine), antitusif (seperti Dextromethorphan dan Diphenhydramine) dan dekongestan (seperti Ephedrine, Phenylephrine dan Pseudoephedrine) yang digunakan untuk rawatan batuk dan selesema.

Eisah dipetik berkata produk sedia ada di pasaran berkemungkinan tidak mempunyai kenyataan amaran pada label produk mereka.

Tambah pegawai kanan kementerian itu, apabila memberi ubat batuk dan selesema kepada kanak-kanak yang berumur lebih daripada dua tahun, ibu bapa dan pengguna perlu mengikut aturan pemakanan yang dijelaskan.

Pengambilan ubat batuk dan selesema boleh membahayakan jika diberi melebihi dos yang disarankan, memberi terlalu kerap atau mengambil lebih satu jenis ubat yang mengandungi bahan aktif sama.

"Kebanyakan kandungan dalam persediaan ubat batuk dan selesema mengandungi campuran beberapa bahan ubat dan pemberian lebih daripada satu jenis ubat boleh menyebabkan dos yang berlebihan sekiranya tidak berhati-bati," Eisah dipetik berkata semalam.

Tambahnya lagi, demam biasa tidak memerlukan rawatan perubatan yang khusus, kerana kebiasaannya batuk dan selesema yang dialami kanak-kanak boleh sembuh dengan sendirinya.

"Selesema daripada jangkitan virus boleh ditangani dengan rehat, pengambilan air yang mencukupi dan mementingkan keselesaan pesakit," katanya seperti dilaporkan.

Bagaimanapun, kata Eisah, jika simptom berlarutan dan semakin teruk atau tidak menunjukkan tanda-tanda pulih atau disertai dengan demam, mukus pekat dan kahak, pengguna perlu mendapatkan nasihat doktor.

Halwa Telinga

Dikir Barat
Iklim
P Ramli
Lebaran

Galeri gambar MyPustaka

Subscribe to myPustaka

Inspirasi Anda Adalah Inspirasi Bersama

myPustaka at Yahoo! Groups

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP